
JHEAT beri amaran elak amalan khurafat di kubur Allahyarhamah Nurly Sahirah
KUALA TERENGGANU – Orang ramai diberi amaran agar tidak melakukan perkara-perkara khurafat di kawasan perkuburan mangsa nahas bas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Aizi Saidi berkata, pihaknya akan melaksanakan pemantauan berkala bagi memastikan tiada amalan syirik atau khurafat dibuat di kawasan perkuburan tersebut.
“Mana-mana individu yang melakukan perbomohan, sihir atau apa-apa yang bercanggah dengan enakmen boleh dikenakan tindakan.
“JHEAT amat memandang serius perbuatan khurafat yang menyalahi agama,” katanya memetik laporan Bernama.
Tambah beliau, sebarang perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang membawa kepada hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun.
Terdahulu, pada Jumaat lalu tular hantaran di media sosial yang mendakwa terdapat pengunjung bertindak di luar batasan apabila mengambil tanah kubur Allahyarhamah Nurly Sahirah untuk dibawa pulang bagi tujuan tertentu.
Sesulan kejadian itu, keluarga arwah telah memasang tali pengadang di sekeliling kubur bagi mengelak perbuatan itu berulang.
Selain itu, wakil keluarga Allahyarhamah turut menetapkan waktu kunjungan orang ramai ke kediamannya dihadkan dari 9 pagi hingga 6 petang dan tiada sebarang lawatan dari 2 hingga 5 Julai bagi memberi peluang kepada keluarganya berehat.
Allahyarhamah Nurly Sahirah merupakan salah seorang daripada 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan pada 9 Jun lalu apabila bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |