
Jenazah Tun Abdullah selamat disemadi di Makam Pahlawan
KUALA LUMPUR – Negara hari ini mengiringi pemergian seorang tokoh negarawan ulung, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi ke tempat persemadian terakhir dengan penuh penghormatan dan rasa hiba.
Jenazah Perdana Menteri kelima atau lebih dikenali sebagai Pak Lah itu selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara sekitar pukul 2.28 petang tadi.
Istiadat Pengebumian Negara itu disaksikan oleh ahli keluarga terdekat, barisan pemimpin negara dan rakyat pelbagai kaum dan usia yang hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Tun Abdullah.

Terdahulu, solat jenazah telah dilaksanakan di Dewan Solat Utama Masjid Negara pada pukul 1.50 petang yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
Selesai solat, jenazah Allahyarham diusung keluar dari ruang solat dan dibawa ke Makam Pahlawan untuk dikebumikan di sisi tokoh-tokoh negara terdahulu.
Antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; serta beberapa menteri Kabinet.
Turut kelihatan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Sejak pagi tadi, orang ramai telah mula membanjiri perkarangan Masjid Negara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham yang dibuka kepada umum bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang.

Tun Abdullah dikenali sebagai pemimpin berjiwa sederhana dan bersih, menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara pada pukul 7.10 petang semalam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah dan dua orang anak, Kamaluddin dan Nori Abdullah.
Pemergian Allahyarham meninggalkan legasi besar dalam sejarah pentadbiran dan pembangunan negara.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan dihimpunkan bersama para kekasih-Nya. Al Fatihah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |