BERITA SEMASA

Jenazah Awang Askandar tiba di EBC, diterbangkan ke Kathmandu

KATHMANDU – Jenazah pendaki negara, Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, berjaya tiba di Everest Base Camp (EBC) pada kira-kira pukul 9.50 pagi waktu Nepal (sekitar 12 tengah hari tadi waktu Malaysia) sebelum diterbangkan ke hospital di Kathmandu.

Malaysia Everest 2023 (ME2023) menerusi satu kenyataan akhbar berkata, jenazah Awang Askandar selamat tiba di Kem Tiga kira-kira pukul 7 pagi waktu Nepal (sekitar 9 pagi waktu Malaysia) seterusnya di bawa turun dari Kem Empat dengan bantuan enam malim gunung secara manual menggunakan pengusung.

Sekretariat ME2023 di EBC turut berkongsi sekeping gambar menunjukkan jenazah Allahyarham yang berbalut rapi dengan bendera Jalur Gemilang.

Gambar jenazah itu adalah kali pertama didedahkan ME2023 selepas Allahyarham disahkan meninggal dunia pada Jumaat lalu akibat masalah kesihatan ketika misi menakluk puncak tertinggi dunia itu.

Jenazah arwah tidak pernah didedahkan dan dikongsi memandangkan tiada liputan internet terutama di Kem Empat, malah komunikasi hanya dilakukan menerusi walkie talkie.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan malim gunung memikul seorang pendaki yang kononnya disangka Awang Askandar namun, ME2023 menafikan perkara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button