
Jenazah Awang Askandar selamat dikebumikan
Proses seterusnya bantu keluarga terima bantuan sepatutnya - Armizan
PAPAR – Jenazah peserta ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME2023) Allahyarham Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Benoni, Papar pada pukul 5.30 petang tadi.
Terdahulu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 2.15 petang sebelum dibawa ke Masjid Jamek As Salam Benoni sekitar pukul 3.38 petang untuk dimandi dan dikafankan.
Solat jenazah kemudian disempurnakan di masjid berkenaan.
Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia Sabah.
Turut serta dalam solat jenazah ialah ahli keluarga Allahyarham serta warga Kampung Benoni.
Allahyarham Awang Askandar meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.
Sementara itu, menurut Armizan, pihaknya akan membantu keluarga Allahyarham menguruskan pencen dan insurans selain bantuan kebajikan daripada yayasan lain yang berkaitan.
“Fokus kita seterusnya adalah membantu urusan keluarga.
“Antaranya kita melihat kepada pengurusan kelayakan beliau selaku penjawat awam dari segi pencen dan cuti dan sebagainya. Begitu juga insurans.
“Arwah ke ekspedisi ini ada mengambil insuran melalui kelab.
“Kita akan bantu permudahkan urusan tersebut supaya keluarga dapat pampasan itu dengan segera. Begitu juga kita berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak.
“Yayasan-yayasan tertentu juga telah menyatakan hasrat mereka (untuk membantu). Maka APM dan kita akan berusaha untuk membantu kebajikan keluarga dan waris arwah”, kata Armizan, hari ini.
Pengarah Pertahanan Awam (APM) Kedah itu dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat lalu selepas mengalami masalah kesihatan pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut ketika mendaki Gunung Everest.
Ketika kejadian, Allahyarham dikatakan hanya memerlukan lebih kurang 20 minit lagi untuk sampai ke puncak Everest.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






