BERITA SEMASA

Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi cadang tingkat pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi hari ini mencadangkan agar pengoperasian pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia diperluas susulan kes denggi yang kian meningkat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebanyak 123,133 kes denggi telah dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 66,102 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 86.3 peratus.

“Program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dilaksanakan di 32 lokaliti melibatkan 7 negeri bermula tahun 2019.

“Sebanyak 19 lokaliti telah lengkap 2 tahun 6 minggu dan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi 45 peratus hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan.

“Jawatankuasa Kabinet mencadangkan perluasan pengoperasian nyamuk Aedes berWolbachia melalui pertambahan 10 lokaliti baru bagi pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia yang memerlukan dana sebanyak 4 juta setahun bagi menampung kos operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibacakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Jawatankuasa Kabinet turut mencadangkan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menjadikan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia sebagai Projek Angkat oleh PBT.

“Aktiviti gotong-royong secara berjadual di premis seliaan kementerian, jabatan dan agensi dijadikan agenda tetap dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Peringkat Daerah dan Negeri.

“Selain itu, kempen dan gotong royong secara besar- besaran melibatkan pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat akan dilaksanakan pada tahun 2024.

Tambah Timbalan Perdana Menteri, satu kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu yang akan menggariskan langkah-langkah menangani denggi untuk persetujuaan jemaah menteri.

“Diharapkan dengan keputusan-keputusan yang diambil ini dapat meningkatkan pelaksanaan langkah-langkah kawalan dan pencegahan denggi sebelum ia menjadi lebih serius.

“Saya menyeru semua rakyat mengambil cakna mengenai masalah denggi dan sentiasa memastikan persekitaran tempat tinggal bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” ujar beliau lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button