Jangkitan kusta di kampung Orang Asli di Kuala Pilah terkawal
SEREMBAN – Situasi jangkitan kusta di dua perkampungan Orang Asli Chergun dan Guntur di Kuala Pilah berada dalam keadaan terkawal.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, pejabat kesihatan daerah selesai melakukan saringan ke atas penduduk serta rawatan susulan kepada pesakit kusta.
Jelas beliau, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) berkaitan penyakit kusta, turut menjalankan aktiviti saringan penyakit kusta di lokaliti Orang Asli berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan kusta di kawasan tersebut.
“Selain itu, semua kontak kepada kes kusta yang dikenal pasti akan disaring dan diberikan satu dos ubat antibiotik profilaksis (pencegahan) untuk penyakit kusta. Semua kontak ini juga akan dipantau selama 1 hingga 5 tahun.
“Kementerian Kesihatan komited meningkatkan aktiviti saringan kusta melalui program Latihan, Kesan, Analisa, Rawat dan Rujuk (Lakar) di lokaliti Orang Asli melalui kerjasama dengan pemimpin setempat dan agensi-gensi kerajaan dan bukan kerajaan yang lain,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN-Juasseh) berkenaan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan penghapusan penyakit kusta secara total, khususnya dalam kalangan komuniti Orang Asli dan penduduk kampung berdekatan.
Tambahnya, bagi tahun 2024, program Lakar dilaksanakan di sembilan lokaliti di seluruh Negeri Sembilan yang mana lima lokaliti terdiri daripada perkampungan Orang Asli.
Pada masa yang sama, aktiviti saringan penyakit kusta juga dilakukan dalam skala lebih kecil melibatkan institusi, perkampungan, dan tempat kerja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






