
Jangan tunggang agama demi kepentingan peribadi – PM
SEPANG – “Jangan ambil kesempatan atas isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India demi kepentingan peribadi.”
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini.
Tegas beliau, penyelesaian mengenai isu berkenaan kini sedang dalam rundingan pihak yang berkenaan.
“Masalahnya ada pihak yang menunggang isu agama, termasuk peguam yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan agama Hindu, tiba-tiba mahu menjadi jaguh dengan mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahu merobohkan kuil tersebut.
“Saya tidak dapat membayangkan sebagai Perdana Menteri, saya akan merobohkan mana-mana rumah ibadat atau menghalang aktiviti keagamaan mana-mana pihak,” tegasnya memetik kenyataan BH Online.
Sebelum ini, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan bahawa isu pemindahan kuil itu akan diselesaikan secara harmoni, memandangkan tanah berkenaan adalah milik sebuah syarikat swasta yang bercadang untuk membangunkan masjid di lokasi tersebut.
Menurut kenyataan Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL, lokasi baharu bagi pemindahan kuil itu telah dikenal pasti bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa.
Anwar menjelaskan bahawa tanah tersebut bukan milik kerajaan, sebaliknya telah dimiliki oleh syarikat swasta sejak 2012.
“Jadi kuil yang lama dan statusnya tidak mendapat kebenaran, tidak sah tetapi bagi pastikan hubungan kita harmoni, syarikat (pemilik tanah) setuju untuk menyalurkan sedikit bantuan manakala pihak DBKL sebenarnya sudah mencari tapak tanah ganti supaya tidak menjadi masalah.
“Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka (pihak kuil) mendapat tapak yang sah dan diiktiraf, mudah-mudahan diselesaikan dengan baik.
“Saya harap tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk daripada kalangan masyarakat Islam dan kita tangani dengan baik kerana masjid akan terus dibina, tapak kuil akan disediakan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |