Jangan tebuk lubang, kalau tak nak karam – Fuziah
JOHOR BAHRU –Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh memberi peringatan keras kepada ahli parti agar tidak membawa agenda peribadi yang boleh menjejaskan kesatuan parti, khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang semakin hampir.
Menurut beliau, tindakan segelintir individu yang mementingkan diri hanya akan merosakkan perjuangan yang telah dibina dengan susah payah dan pengorbanan sejak sekian lama.
“Kalau ada yang sanggup menebuk lubang di kapal, jangan terkejut kalau kita semua tenggelam sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR di sini, malam tadi.
Fuziah menegaskan bahawa parti adalah ibarat sebuah kapal yang membawa semua ahli menuju matlamat bersama.
“Sekiranya ada yang berkelakuan khianat dengan membawa agenda sendiri, seluruh perjuangan yang dibina boleh musnah begitu sahaja.
“Ini kapal kita. Kita yang belayar bersama. Tapi kalau ada yang bawa kepentingan peribadi dan tebuk kapal ini, seluruhnya akan karam,” jelasnya.
Fuziah turut menekankan bahawa proses pemilihan parti seharusnya menjadi ruang untuk memperkukuh semangat kekeluargaan dan demokrasi dalaman, bukannya mencetuskan perpecahan.
“Kita buat yang terbaik untuk parti kerana kita sayangkan perjuangan ini. Kita semua Keadilan,” ujarnya.
Beliau juga menggariskan pentingnya menghargai sejarah panjang perjuangan parti yang telah ditempuhi dengan penuh cabaran dan tekanan, termasuk ketidakadilan serta penindasan dari pihak berkuasa.
“Kita bukan membina wadah ini dalam sehari dua. Ia tertegak dengan peluh, air mata dan pengorbanan ramai. Kepercayaan rakyat yang kita miliki hari ini tidak datang bergolek.”
“Suatu ketika dulu, kita dilihat sebagai parti nyamuk yang tidak mungkin bertahan. Tapi hari ini, kita adalah kerajaan.
“Presiden kita adalah Perdana Menteri. Maka, amanah ini perlu dijaga sepenuh hati. Jangan biarkan sesiapa pun menebuk lubang dalam kapal ini,” katanya.
Walaupun Fuziah tidak menyebut mana-mana individu secara khusus, kenyataan beliau dipercayai merujuk kepada kritikan terbuka Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli baru-baru ini, terhadap proses pemilihan parti yang didakwanya tidak telus dan berat sebelah.
Kritikan tersebut telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pimpinan dan ahli parti, selain menimbulkan kebimbangan terhadap potensi perpecahan jika tidak ditangani secara berhemah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






