BERITA SEMASA

Jangan salah guna doa demi kepentingan politik – Mohd Na’im

KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pihak yang memperalatkan doa demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu tanpa menghormati kedudukannya dari sudut syariat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, doa merupakan senjata rohaniah yang suci dan harus digunakan dengan penuh adab dan keinsafan, bukan dijadikan alat memecahbelahkan umat atau menyerang pihak lain.

“Umat Islam perlu memperkukuh kesedaran agama serta penghayatan Islam yang menyeluruh sebagai benteng menghadapi pelbagai dakyah licik yang menggunakan imej dan unsur agama untuk melemahkan kestabilan serta kemajuan yang dicapai negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, pihaknya kesal dengan tindakan seorang ahli politik yang didakwa menyalahgunakan kedudukan doa dalam perhimpunan awam baru-baru ini, dengan kandungan yang didakwa memuatkan elemen perpecahan dan tuduhan tidak berasas terhadap kepimpinan negara.

“Lebih mengecewakan, kandungan doa tersebut didakwa membawa fahaman yang boleh memecahbelahkan hubungan sesama umat Islam dan berisiko menyemai fahaman ekstrem serta radikal dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Mohd Na’im menjelaskan, doa adalah penghubung antara hamba dan Allah SWT serta lambang kekuatan rohaniah yang sewajarnya dipelihara dengan kesedaran akidah yang benar dan sikap penuh hikmah.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan terus berusaha memperkukuh kefahaman Islam yang sebenar berasaskan prinsip kesederhanaan, penghayatan syiar Islam serta penolakan terhadap pemikiran ekstrem dan radikal,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam mengukuhkan dasar Malaysia MADANI yang mengangkat nilai sejagat, membina masyarakat berdaya tahan dan memacu kemajuan negara dari segenap aspek kehidupan serta ketamadunan.

“Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita akan terus beriltizam memastikan kesejahteraan rakyat dan perpaduan ummah terpelihara demi masa depan negara yang harmoni dan makmur,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button