BERITA SEMASA

Jangan politikkan agama Islam tetapi Islamkan politik demi negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan para ahli politik agar tidak menjadikan agama Islam sebagai alat untuk meraih kepentingan peribadi atau memecah-belahkan masyarakat.

Baginda menegaskan bahawa agama Islam tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya politik yang diamalkan di negara ini wajar diislamkan iaitu dipandu oleh prinsip dan nilai syariat demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.

Sultan Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1447 kepada penerimanya.

“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi, tetapi mengislamkan politik demi kepentingan negara.

“Ini bermaksud, urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut fahaman sekular atau liberal.

“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa menyampaikan Titah Diraja sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2025M yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini semalam.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Dalam titahnya, Baginda turut mengingatkan umat Islam agar meneladani kepimpinan Rasulullah SAW dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan berasaskan nilai-nilai Islam.

“Peristiwa Hijrah menyaksikan bagaimana perpaduan berjaya dibentuk melalui satu perjanjian bertulis iaitu Piagam Madinah.

“Di negara kita juga, perpaduan rakyat yang majmuk telah dicapai melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai-nilai bersama seperti keadilan, kuasa, tanggungjawab dan muafakat,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menyeru seluruh umat Islam agar memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam membina sebuah tamadun Islam yang bukan hanya bersifat fizikal semata-mata, tetapi turut menekankan nilai rohani, moral dan sosial yang seimbang.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu diadakan bagi memperingati peristiwa besar Hijrah Rasulullah SAW yang menjadi titik tolak pembangunan tamadun Islam serta menyemarakkan semangat perpaduan dan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button