BERITA SEMASA

Jangan mudah terpedaya individu, kumpulan bawa ajaran luar daripada kebiasaan – Mohd Na’im

PUTRAJAYA – Orang ramai khususnya umat Islam diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan individu atau kumpulan yang mendakwa mempunyai keistimewaan agama tertentu atau membawa ajaran luar daripada kebiasaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, umat Islam juga diminta mendapatkan maklumat dan panduan daripada pihak berkuasa agama sebelum menyertai mana-mana kumpulan keagamaan.

Langkah sedemikian adalah bagi mengelakkan masyarakat tersasar daripada ajaran Islam sebenar yang berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh pendekatan dakwah, pendidikan dan penguatkuasaan bagi memastikan umat Islam di Malaysia kekal berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sahih, berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias.

“Semoga usaha bersama ini menjadi benteng kepada umat Islam daripada terjebak dengan ajaran yang menyeleweng serta memelihara keharmonian ummah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong penuh tindakan tegas Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang menahan sekumpulan individu dikaitkan dengan ajaran dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi, baru-baru ini.

Tindakan JAIP itu, katanya, penting bagi mengekang penularan fahaman dan amalan yang jelas menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, selain menjadi pengajaran kepada kumpulan lain supaya tidak menyebarkan ajaran sesat.

“Isu berkaitan penyimpangan akidah bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi juga isu pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat.

“Justeru, kerjasama erat antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri akan terus diperkukuh bagi memastikan tindakan yang selaras dan bersepadu dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan yang boleh mengancam akidah masyarakat.

Laporan media sebelum ini menyebut, JAIP menahan ketua serta tujuh pengikut kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi dalam serbuan di sebuah bekas gudang perabot di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, Jerantut, Sabtu lalu.

Serbuan kira-kira puku 2.30 petang itu menemukan pelbagai dokumen dan barangan disyaki bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk tongkat, kain kuning dan hitam, serta batu dililit kain kuning yang dipercayai berunsur khurafat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button