Berita SemasaPM X

Jangan jadikan kejatuhan nilai ringgit senjata politik – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan kejatuhan nilai ringgit sebagai senjata atau ‘sepak terajang’ politik.

Sebaliknya beliau berkata, isu itu perlu dilihat bersandarkan fakta dan situasi semasa yang membuktikan keadaan ekonomi negara masih berada pada landasan yang betul walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Walaupun ada masalah ringgit tapi pelaburan tahun lalu tertinggi dalam sejarah. Tapi orang lupa, bila dijadikan isu politik dia hentam sahaja.

“Kita patut bimbang apabila ringgit jatuh inflasi jadi naik, pertumbuhan terbantut dan pelabur tidak datang. Tapi sekarang semua itu tidak berlaku dan semua angka dan data ekonomi menunjukkan kita di landasan yang betul,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika merasmikan “Restu Global Quranic Arts Festival (ReQAF) 2024” di Kompleks Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemasukan pelaburan berjumlah RM329.5 bilion pada tahun lalu membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi Malaysia.

Bahkan jumlah pelaburan asing sebanyak 57.2 peratus mengatasi jumlah pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Pada majlis hari ini Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah yang bertujuan mengembalikan tradisi penyalinan al-Quran seperti yang dilakukan sepanjang sejarah Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Anwar juga melancarkan Buku Adab Madani bagi mengembalikan budaya menyalin dan menulis dalam kalangan masyarakat, menggalakkan penulisan positif agar elemen positif ditonjolkan dalam kehidupan masyarakat berbanding elemen negatif, selain memupuk akhlak baik merentasi bangsa, warna kulit, golongan dan fahaman.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Abdul Latiff Mirasa dan Timbalan Pengerusi merangkap Pemegang Amanah Yayasan Restu Ahmad Maslan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button