Berita SemasaPM X

Jangan gaduh saja, bantu tingkat ekonomi rakyat – PM Anwar kepada pembangkang

BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pemimpin politik di negara ini agar tidak bergaduh sesama sendiri, sebaliknya turut sama dalam mencari jalan bagi mengurangkan beban rakyat.

Anwar berkata demikian selepas diminta untuk mengulas mengenai siasatan polis terhadap veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berhubung isu calon Perdana Menteri bukan Melayu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang hanya untuk melaga-lagakan penduduk negara yang berbilang kaum.

“Seperti juga isu yang diwar-warkan pembangkang mengenai persempadanan semula. Perkara itu tidak berbangkit pun, hanya untuk melaga-lagakan, nak bagi orang lagi marah, orang Cina lagi marah.

“Ia tidak berbangkit dan dia (pembangkang) tidak faham perlembagaan. Perlembagaan membolehkan kita mengkaji semula persempadanan itu pada akhir 2026 sahaja.

“Nak sibuk pasal apa… carilah modal untuk bantu bagaimana mahu angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Jangan duk ajak bergaduh sahaja… tak letih ke,” katanya selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, di Bandar Baru Bangi, hari ini.

Kit Siang mencetuskan kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.

Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.

Rabu lalu, Kit Siang Kit Siang disiasat dan telah hadir memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan menjawab keseluruhan 27 soalan yang dikemukakan pasukan siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button