
Jangan fitnah, tahap kesihatan PM jauh lebih baik daripada orang lain – Setiausaha Politik
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk mengambil tindakan tegas kepada pemfitnah.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, seharusnya bulan Ramadan yang baru berlalu pergi mendidik umat Islam membersih dan menyucikan jiwa namun terdapat segelintir yang mencemarinya dengan membuat fitnah.
“Namun, ruang suci ini terus dicemari dengan hamburan politik yang berbaur fitnah dan dendam yang tidak berkesudahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Lebih parah, naratif longkang dan rendah akal ini diperpanjang oleh sebilangan pendukung gerombolan yang mahu menegakkan Islam,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa Islam melarang serta mencegah umatnya daripada sebarang unsur fitnah, serta Islam bertegas bahawa memfitnah mana-mana insan adalah umpama membunuh insan tersebut.
“Ini jelas menampakkan keterdesakan mereka untuk mengepung minda masyarakat dengan cerita yang direka-reka serta tanpa asas kukuh dan bukti kegagalan mereka untuk membawa sebarang isu yang ampuh ke arah Perdana Menteri dan pentadbiran Madani.
Dalam pada itu Kamil juga berpesan kepada beberapa individu yang menjadikan fitnah sebagai kegiatan harian supaya meninggalkan amalan membadutkan diri dan merosakkan fikrah masyarakat.
Beliau juga mengakui sebagai seorang individu yang dekat dengan Perdana Menteri, mengesahkan bahawa tahap kesihatan beliau jauh lebih baik daripada orang lain.
“Kecekalan, semangat, ketangkasan serta kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang jauh lebih muda ini untuk mengejar ‘pace’ kerjanya juga kadang-kadang tertinggal.
“Perdana Menteri tidak berganjak daripada tekadnya untuk merubah negara dan perubahan adalah proses yang mesti ditelan meski memakan masa dan menerima kecaman,” katanya lagi.
Kamil juga menggesa PDRM untuk bertindak terhadap pemfitnah dan memberi ruang sebebas yang mungkin kepada pengkritik yang jujur kerana hak demokratik tidak mencakup amalan memfitnah dan rekayasa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |