
Jangan alpa terhadap keselamatan jiwa, harta benda – KPN
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan orang ramai khususnya umat Islam yang akan menyambut Syawal tidak lama lagi agar berwaspada dengan keselamatan diri dan harta benda.
Melalui satu perutusan khas sempena Hari Raya Aidilfitri 1446H, Razarudin turut mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghayati makna kemenangan yang sebenar.
“Saya berharap dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, kita tidak alpa terhadap keselamatan jiwa dan harta benda.
“Sepanjang perjalanan, amalkan pemanduan berhemah dan patuhi undang-undang jalan raya agar selamat tiba di destinasi,” katanya dalam perutusan tersebut.
Tambah beliau, bagi warga Sang Saka Biru, kemenangan bukan sekadar melawan hawa nafsu, tetapi juga berkorban demi memastikan keselamatan negara dan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga PDRM atas keikhlasan dan komitmen dalam melaksanakan tugas sepanjang bulan Ramadan.
“Sesungguhnya khidmat bakti yang dicurahkan tidak ternilai harganya dan pasti beroleh ganjaran daripada Allah SWT,” ujarnya.
Sementara itu, Razarudin turut memberi penghormatan kepada anggota yang bertugas sepanjang musim perayaan kelak.
“Ketahuilah sesungguhnya kemeriahan yang dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia adalah atas keringat dan pengorbanan warga pasukan yang meletakkan keutamaan negara mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.
Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman, beliau mengingatkan agar merancang perjalanan dengan baik dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar memastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat dengan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |