BERITA SEMASA

Jalur Gemilang simbol perjuangan, bukan sekadar kain bercorak warna-warni – Agong

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Sin Chew Daily seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak, demikian titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan siaran imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit yang diterbitkan akhbar berbahasa Cina itu.

Sultan Ibrahim bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan serta identiti sesebuah negara, dan ia bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni, tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titahnya dalam satu hantaran di Facebook milik baginda hari ini.

Semalam, Sin Chew Daily memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu semalam.

Dalam satu kenyataan, akhbar itu berkata perkara berkenaan berlaku disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Kelmarin, ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit berkenaan, yang diletakkan bersebelahan bendera China menjadi tular di media sosial, dengan banyak pihak menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button