BERITA SEMASA

JAKIM arah pengimport tarik balik produk dari Indonesia mengandungi DNA babi

KUALA LUMPUR – Pengimport produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi Asid deoksiribonukleik (DNA) babi diarahkan untuk menarik balik produk tersebut dari pasaran tempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, arahan itu berikutan pengumuman Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia berhubung penarikan balik produk terbabit.

“Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal.

“Daripada jumlah itu, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua batch’ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata, pihaknya memandang serius pengumuman rasmi itu, selain menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

“Sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan.

“JAKIM turut mengarahkan pihak pengimport yang terlibat segera menghubungi JAKIM melalui emel ukkjakim@islam.gov.my dan mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit dari pasaran Malaysia.

“Langkah ini sejajar prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini,” katanya.

Sementara itu, orang ramai turut diseru untuk memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk tersebut di pasaran.

Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button