
JAIS diminta segerakan pembinaan masjid, elak pencerobohan – Ketua Kampung Dengkil
DENGKIL – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta menyegerakan pembinaan masjid di atas sebidang tanah di sini susulan pencerobohan melibatkan pembinaan premis ibadat persendirian dan kandang lembu yang tular di media sosial.
Ketua Kampung Dengkil, Al Rasyid Ab Rani berkata, kelewatan pihak berkuasa membangunkan masjid tersebut membuka ruang kepada pihak luar untuk terus menceroboh dan membina struktur lain secara haram.

“Saya harap JAIS ambil serius perkara ini kerana tanah ini telah diwartakan sebagai tanah masjid.
“Tapi selagi tiada tarikh rasmi bila masjid ini akan dibina, pencerobohan akan terus berlaku,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune di tapak tanah tersebut hari ini.
Beliau mendakwa, ketika ini semua peruntukan telah pun diluluskan dan hanya menanti tindakan JAIS untuk memulakan proses pembinaan.
“Saya berharap sangat pihak JAIS keluarkan satu tarikh, peruntukan semua dah ada. Bagi satu tarikh bila nak mula bina masjid. Itu harapan besar kami,” tegas beliau.
Selain itu, Al Rasyid mencadangkan agar masjid yang bakal dibina itu turut berfungsi sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir, memandangkan kawasan kampung berhampiran yang sering dilanda banjir.

“Bila ada masjid ni, ada PPS, buat dua tingkat dan kita boleh tempatkan mangsa banjir di situ,” jelas beliau.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan berhubung kewujudan rumah ibadat kecil di kawasan tanah tersebut yang menurut maklumat pejabat tanah, telah diperluas dari saiz asal.
“Kuil itu bukanlah untuk semua orang, rumah ibadat untuk keluarga sahaja. Tapi pihak JAIS dan pejabat tanah kena tengok benda ini, jangan biarkan saja. Kalau dibiarkan, nanti makin besar,” katanya.
Susulan hantaran yang dimuat naik oleh Al Rasyid tular di Facebook semalam, pihak berkuasa turun padang meninjau keadaan di lokasi tersebut.
Antara yang hadir ialah wakil daripada Polis Sepang, JAIS, Pejabat Tanah dan Daerah Sepang dan Pengerusi Tetap MIC Sepang, Datuk V. Gunalan.
Bagaimanapun, pihak polis dan JAIS tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media berhubung perkara itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |