
Jabatan Imigresen perkukuh kerjasama rentas agensi tangani pemerdagangan orang di Zon Sabah
TAWAU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus mempergiat usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (TIPSOM) menerusi Mesyuarat Bersama Agensi Sahabat Zon Sabah yang berlangsung baru-baru ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha.
Ia bertujuan memperkukuh koordinasi serta kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa di kawasan sempadan negeri Sabah.

Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.
“Mesyuarat ini turut merangkumi sesi taklimat dan perkongsian maklumat yang menekankan kepentingan sinergi dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan.
“Sebagai sebahagian daripada usaha menilai cabaran di lapangan, lawatan kerja serta sesi walkabout telah diadakan ke beberapa lokasi strategik di Pulau Sebatik termasuk Pos Batalion 14 PGA PDRM Sungai Melayu, kawasan Sungai Aji Kuning serta tinjauan ke perairan Burs Point,” kata JIM dalam satu kenyataan.
Tambahnya, lawatan itu turut disertai oleh wakil Konsulat Republik Indonesia dengan sokongan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dari aspek keselamatan dan logistik.
Delegasi JIM turut mengambil peluang mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Indonesia di Tawau sebagai komitmen terhadap kerjasama dua hala dalam pengurusan migrasi.
“Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dalam meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
“Inisiatif ini juga sejajar dengan mandat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Kebangsaan (NSO MAPO) untuk membanteras TIPSOM secara menyeluruh dan bersepadu,” menurut kenyataan itu lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |