
Isu seragam: CEO Pos Malaysia mohon maaf, janji tambah baik kebajikan kakitangan
KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer memohon maaf secara terbuka berhubung isu pakaian seragam kakitangannya yang tular baru-baru ini dan berjanji untuk memperbaiki sistem dalaman bagi memastikan kebajikan warga kerja terus terjaga.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Pos Malaysia menjelaskan bahawa insiden itu melibatkan isu dalaman pada 19 Mac lalu, apabila seorang kakitangan membuat aduan mengenai pakaian seragam yang rosak dan tidak selesa dipakai.
Menurut kenyataan itu, tindakan segera telah diambil termasuk berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan terlibat dan memastikan isu tersebut diselesaikan sepenuhnya.
“Ketua Pegawai Eksekutif kami dengan rasa rendah diri telah menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan yang terkesan dan ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengakui respons awal beliau seharusnya lebih berempati dan menzahirkan komitmen untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira.
“Proses dalaman kami juga sedang ditambah baik bagi memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur,” jelas kenyataan itu lagi.
Menurut syarikat itu, usaha tersebut adalah bagi memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.

Sebelum itu, isu berkenaan mencetus perhatian ramai selepas tangkap layar daripada aplikasi dalaman Kyzense yang digunakan warga kerja Pos Malaysia tersebar di media sosial, memaparkan mesej seorang kakitangan yang mempersoalkan keadaan pakaian seragam yang didakwa sudah rosak.
“Assalamualaikum… bila baju baru nak dapat? Baju lama dah teruk sangat dah ni… sampai pelanggan pun dah tegur,” tulis kakitangan terbabit menerusi aplikasi tersebut.
Namun, jawapan yang didakwa diberi oleh Brewer iaitu: “Count yourself lucky that you don’t work for one of the foreign carriers who don’t provide uniform at all…” telah mengundang kecaman warga maya yang menganggap kenyataan itu tidak sensitif terhadap kebajikan pekerja.
Seorang lagi kakitangan turut mempersoalkan tindak balas tersebut dengan berkata: “Bukan saya yang tanya… pelanggan yang tegur. Salah ka saya bertanya dalam Kyzense?” — yang mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.
Pos Malaysia dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas perhatian dan sokongan dalam usaha menambah baik kebajikan kakitangannya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |