
Isu rumah ibadat persendirian di Dengkil tidak harus dijadikan isu perkauman – Datuk V. Gunalan
DENGKIL – Pengerusi Tetap MIC Bahagian Sepang merangkap Ahli Majlis Tertinggi MIC Pusat, Datuk V. Gunalan menegaskan isu berkaitan rumah ibadat persendirian yang didakwa dibina di atas tapak baharu masjid Dengkil di sini, tidak sepatutnya dijadikan polemik perkauman.
Beliau menjelaskan, premis yang dipertikaikan itu bukan sebuah kuil seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial, tetapi hanyalah tempat sembahyang yang dibina oleh seorang lelaki berturunan India yang mengusahakan kandang lembu di kawasan itu.

“Saya sudah menetap di Dengkil selama 50 tahun dan sepanjang tempoh itu, tidak pernah wujud sebarang kuil di kawasan ini.
“Ia hanya tempat sembahyang untuk kegunaan keluarga sendiri. Tidak dibuka kepada orang luar pun. Jangan jadikan ini isu perkauman,” katanya ketika ditemui media di tapak lokasi masjid milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang didakwa diceroboh.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis, JAIS dan pejabat daerah telah turun padang bagi melihat keadaan tersebut.
“Hasilnya, mereka mendapati tiada kuil, tiada perarakan dan tiada aktiviti keagamaan berskala besar dijalankan.
“Saya harap netizen di luar sana berhenti memanipulasi isu ini dan menjadikannya sensitif,” katanya lagi.
Tegas beliau, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum harus berpegang kepada prinsip keharmonian seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita semua rakyat Malaysia. Jangan biarkan fitnah dan kebencian berakar hanya kerana salah faham,” ujarnya.
Sementara itu, individu yang didakwa menceroboh tanah tersebut, Raman Ganggatharan, 49, berkata, dia dan keluarga telah menetap di situ sejak 25 tahun lalu dan menjalankan aktiviti penternakan lembu dan kambing untuk menyara hidup.

“Kami pernah berpindah beberapa kali, termasuk di Ampar Tenang, Kampung Dato’ Ahmad Razali dan Cyberjaya atas arahan pihak berkuasa tempatan.
“Kini kami hanya berharap dapat kekal di sini dengan tenang. Ini tempat sembahyang keluarga kami, bukan untuk orang luar,” katanya.
Menurut Raman, mereka telah berusaha untuk mendapatkan geran tanah dan kerap berurusan dengan pejabat tanah.
“Kami bukan mahu merampas tanah sesiapa. Kami hanya mahukan tempat berteduh dan ruang untuk beribadah bersama keluarga,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |