
Isu rumah ibadat: Dua individu dipanggil MCMC
CYBERJAYA – Dua individu dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan yang dipercayai berpotensi mencetuskan ketegangan kaum dan agama serta mengancam ketenteraman awam.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memberitahu individu tersebut merupakan pentadbir utama sebuah kumpulan di Facebook.
“Sesi rakaman percakapan telah dijalankan pada 27 Mac 2025, pada pukul 9 malam di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, selepas menerima aduan daripada orang ramai mengenai aktiviti kumpulan tersebut.
“Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit dan kad SIM bagi tujuan pembuktian kes,” kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, kes itu disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan berkaitan, MCMC telah mengemukakan 110 permohonan kepada Meta bagi menurunkan kandungan berunsur perkauman yang dimuat naik dalam kumpulan Facebook terbabit.
“Hasil daripada siasatan Meta, sebanyak 106 kandungan didapati melanggar Piawaian Komuniti Facebook dan telah diturunkan.
“MCMC menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian dengan memuat naik sebarang kandungan yang boleh mencetuskan kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama,” kata kenyataan itu lagi.
Katanya, tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |