
Isu penempatan kuil di tanah milik swasta selesai secara harmoni
KUALA LUMPUR – Isu berkaitan tapak penempatan Kuil Dewi Sri Pathra Kaliamman yang terletak di sebahagian kecil tanah milik swasta berhampiran Jalan Masjid India di sini, akhirnya berjaya diselesaikan dalam suasana harmoni.
Penyelesaian itu dicapai hasil rundingan pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil bagi memastikan keadilan serta keharmonian masyarakat terus terpelihara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, penyelesaian tersebut adalah khusus bagi kes itu sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi rumah ibadat lain.

“Kita menilai setiap isu berkaitan rumah ibadat secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah serta peraturan yang berkuat kuasa.
“Semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Sehubungan itu, Dr. Zaliha turut menyeru agar polemik berhubung isu tersebut dihentikan segera bagi mengelakkan sebarang ketegangan.
“Prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan terus dihormati, sambil memastikan kepentingan awam serta kedaulatan undang-undang terpelihara,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap keputusan yang diambil berpaksikan semangat muhibah serta keharmonian masyarakat majmuk.
“Kerajaan sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama, sambil memastikan keputusan yang dibuat bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat diseru agar tidak memanipulasikan isu berkenaan dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan yang boleh mengganggu keharmonian negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |