Isu pencerobohan tanah lebih serius dari dadah, jenayah – Sultan Abdullah
RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan isu pencerobohan tanah di negeri itu sebagai ancaman yang lebih serius berbanding masalah dadah dan jenayah.
Baginda menyifatkan jumlah kawasan yang diceroboh bersamaan kira-kira 26,000 ekar sebagai satu angka yang sangat besar dan memerlukan perhatian segera semua pihak berkuasa termasuk jabatan perhutanan, pejabat daerah dan pejabat tanah negeri.
“Saya amat terkejut dengan angka yang dibentangkan. Pencerobohan sebesar ini mencerminkan kelemahan pengurusan dan penguatkuasaan. Kita tidak boleh terus membiarkan perkara ini berlaku seolah-olah tiada undang-undang di negeri ini.
“Pencerobohan tanah kini menjadi antara ancaman utama negeri, malah saya melihatnya lebih serius daripada isu dadah dan jenayah,” titah baginda selepas menghadiri taklimat mengenai operasi penguatkuasaan Op Sekat 3.0 di Batu 3, Jalan Sungai Ruan-Sungai Klau, dekat sini.
Mengiringi keberangkatan baginda, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri dan keselamatan termasuk Ketua Polis Pahang dan Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Baginda turut menyatakan kebimbangan terhadap persepsi rakyat apabila pencerobohan tanah berskala besar itu berlaku secara terbuka tanpa tindakan sewajarnya selama bertahun-tahun.
“Jika dibiarkan berterusan, ini akan menimbulkan persoalan besar terhadap kecekapan dan integriti jabatan berkaitan. Ia seolah-olah mencerminkan ketiadaan pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang,” tegas baginda.
Sultan Pahang, menggesa semua pemegang amanah awam untuk tidak berkompromi dalam isu pencerobohan dan menyifatkan tindakan berdiam diri atau bersubahat sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap negeri dan rakyat.
“Saya mahu semua pihak bertindak secara kolektif dan berprinsip. Pegawai-pegawai kerajaan, khususnya di peringkat daerah, tidak boleh menjadi boneka kepada pihak berkepentingan yang melakukan kegiatan haram,” titah baginda lagi.
Mengulas lanjut, baginda menekankan keperluan untuk memperkukuh sistem pemilikan tanah negeri dan memperketatkan proses permohonan agar tidak mudah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Mana-mana individu yang mahu mendapatkan tanah kerajaan mesti mengikut saluran dan prosedur yang sah. Tindakan mengambil jalan pintas atau menceroboh adalah satu kesalahan serius dan tidak boleh dikompromi,” titah baginda.
Dalam lawatan tersebut, baginda turut melawat kawasan kebun durian Musang King yang menjadi antara lokasi tumpuan dalam isu pencerobohan tanah di Raub.
Al-Sultan Abdullah merakamkan penghargaan kepada pasukan UPNP atas komitmen dan ketegasan dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan di seluruh negeri, termasuk menerusi pelaksanaan Op Sekat 3.0 yang dilancarkan baru-baru ini.
Sehubungan itu, baginda menyeru agar tumpuan turut diberikan terhadap aktiviti perlombongan haram yang semakin berleluasa dan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar serta keselamatan penduduk.
“Sebagai Ketua Negeri, saya akan terus turun padang untuk memantau sendiri keadaan di lapangan. Tanggungjawab membanteras kegiatan haram ini bukan semata-mata tugas penguat kuasa, tetapi juga amanah bersama demi kelangsungan negeri Pahang,” titah Al-Sultan Abdullah menutup kenyataan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








