
Isu kuil: Logik undang-undang apa minta pemilik tanah pindah – soal Dr Akmal
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh membidas pihak yang meminta Jakel sebagai pemilik tanah yang sah di Jalan Masjid India di sini mencari lokasi lain untuk membina masjid bagi membenarkan sebuah kuil terus beroperasi di lokasi tersebut.
Beliau berkata, cadangan itu adalah tidak logik memandangkan tapak berkenaan bukan milik sah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
“Jika ada masjid yang dibina di atas tanah orang lain sekalipun ia perlu dipindahkan, sebab itu tanah bukan milik masjid.
“Tuan tanah punya baik lagi, 10 tahun berbincang untuk dapatkan penyelesaian bukan beli hari ini esok suruh keluar. Tambahan pula Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi lagi cadangan tanah lain untuk dipindahkan tapi kamu masih tak nak. Tiba-tiba, kamu pula minta tuan tanah cari tanah lain,” katanya.

Sebelum ini, Pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad, telah mewakafkan tanah di Jalan Masjid India untuk pembinaan sebuah masjid bagi menampung keperluan komuniti di kawasan itu.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki, turut menjelaskan bahawa rancangan pemindahan kuil Hindu itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid berkenaan.
Bagaimanapun, penyokong pemeliharaan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur mencadangkan ‘tapak alternatif’ untuk pembinaan masjid tersebut.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Zaid Malek mencadangkan agar masjid dibina di dua plot tanah berdekatan, berbanding meroboh dan memindahkan kuil berusia 130 tahun itu.
Sementara itu, Dr Akmal turut membidas kumpulan peguam itu yang membuat cadangan sedemikian.
“Ini peguam jenis apa yang menggunakan logik undang-undang sebegini? Jika begitu, bolehkah saya meminta mereka keluar dari rumah sendiri kerana saya mahu mendudukinya?” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |