Isu Kampung Baru: Sultan Selangor mahu kepentingan Orang Melayu diutamakan
KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan sebarang usaha pembangunan semula di Kampung Baru, Kuala Lumpur perlu dilaksanakan secara teliti dengan memberi keutamaan kepada kepentingan orang Melayu.
Dalam titahnya, Baginda tidak menolak keperluan pembangunan agar kawasan berkenaan seiring dengan peredaran zaman, namun menegaskan syarat-syarat pembangunan mesti jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Kampung Baru mempunyai sejarah penubuhan dan warisan tersendiri yang tidak boleh diketepikan. Ia ditubuhkan pada tahun 1899 hasil kurniaan Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS)
“Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah Baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa Kampung Baru menjadi nadi kebangkitan orang Melayu sejak lebih seabad lalu.
Titah Baginda, antara peristiwa penting termasuk Kongres Melayu Se-Malaya pada 1946 di Kelab Sultan Sulaiman yang mencetuskan penubuhan UMNO serta peranan kawasan itu ketika tragedi 13 Mei 1969.
“Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Kampung Baru ketika ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor. Malah, keluarga Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir dan membesar di sini,” titah Baginda lagi.
Selain itu, Baginda turut mengingatkan agar kedudukan Masjid Jamek Kampung Baru yang dirasmikan oleh Sultan Hishamuddin Alam Shah kekal dipertahankan di lokasi sedia ada sebagaimana pernah dipersetujui.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa Kampung Baru bukan sahaja simbol warisan tetapi juga lambang maruah orang Melayu di ibu negara.
“Maka, sebarang keputusan atau usaha pembangunan di Kampung Baru mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu, bukan sahaja pada masa sekarang, tetapi juga untuk jangka masa panjang,” titah Baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








