
Isu bendera Malaysia: Jangan benarkan normalisasi minta maaf
KUALA LUMPUR – Isu penerbitan bendera Malaysia tanpa elemen penting seperti bulan sabit yang tular baru-baru ini bukan hanya menimbulkan kemarahan rakyat, bahkan boleh dianggap sebagai satu kesalahan dari sudut perundangan sekiranya melanggar syarat-syarat tertentu.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Syahirah Abdul Shukor menjelaskan bahawa meskipun tiada satu akta khusus yang secara langsung menyatakan kesalahan menerbitkan bendera tanpa unsur tertentu seperti bulan sabit, ia tetap tertakluk di bawah beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

“Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] melarang penggunaan lambang rasmi negara secara tidak wajar atau yang menyimpang daripada spesifikasi asal.
“Seksyen 3 Akta ini memperuntukkan bahawa penggunaan lambang rasmi negara yang tidak mengikut bentuk atau spesifikasi boleh dianggap satu kesalahan, terutama jika ia boleh menimbulkan penghinaan atau kekeliruan awam,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, kesalahan berkaitan penghinaan atau pengabaian terhadap simbol negara juga boleh disiasat di bawah Kanun Keseksaan.
“Antaranya Seksyen 504 yang berkaitan niat untuk mengaibkan dan mencetuskan gangguan awam dan Seksyen 505(b) yang berkaitan penerbitan kenyataan yang boleh mencetuskan ketakutan atau kebencian terhadap kerajaan atau simbol-simbolnya.
“Selain itu, Akta Hasutan 1948 masih berkuat kuasa dan boleh digunakan jika penerbitan terbabit dilihat cuba membangkitkan kebencian terhadap kerajaan, sistem beraja atau simbol negara,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu bertindak segera dalam kes seperti itu.
“Sekiranya terdapat asas kukuh untuk mengesyaki berlaku pelanggaran undang-undang, siasatan mesti dijalankan serta-merta dan tindakan sewajarnya diambil.
“Ini kerana lambang negara adalah simbol kedaulatan dan tidak boleh dipermainkan sesuka hati,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa kebebasan media di Malaysia bukan mutlak dan tertakluk kepada undang-undang sedia ada.
“Media yang menerbitkan kandungan berkaitan simbol negara secara cuai atau mengelirukan tetap boleh dikenakan tindakan walaupun tidak berniat jahat.
“Permohonan maaf terbuka tidak semestinya membebaskan mana-mana pihak daripada tanggungjawab undang-undang.
“Persoalannya kini, adakah pihak berkuasa sedang menormalisasikan permohonan maaf sebagai satu-satunya penyelesaian dalam menangani isu yang menyentuh sensitiviti nasional?” soalnya kembali.
Justeru, beliau berharap dan menyeru agar isu seperti itu dapat ditangani secara adil dan saksama oleh pihak berwajib demi mengelakkan sebarang kemungkinan konflik yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |