
Isu beras dimuktamad 20 Mac depan
PUTRAJAYA – Pelaksanaan Beras Putih Malaysia MADANI hanya akan dimuktamadkan pada 20 Mac depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai sesi libat urus yang akan diadakan sesegera mungkin.
“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac 2024 sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” kata Anwar dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Petang tadi, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2024, di sini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri,
Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik.
Anwar berkata, beliau turut mengarahkan supaya program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian, termasuk beras pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Saya tegaskan bahawa Kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari 2024,” kata Anwar lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |