Isu bendera Israel: Penganjur tegaskan hanya untuk kefahaman penonton
KOTA BHARU – Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia menafikan dakwaan kononnya mereka mengagungkan Israel susulan tindakan mengibarkan bendera negara itu ketika Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza yang berlangsung petang kelmarin.
Pengarah Program, Mohd. Khairul Hafiz Hassan berkata, bendera berkenaan dikibar semata-mata bagi tujuan lakonan semula atau simulasi seperti yang dilakukan sukarelawan Global Sumud Flotila (GSF) sebelum ini.
Menurutnya, bendera Israel itu hanya dinaikkan di pentas terapung di Lembah Sireh sebagai sebahagian daripada persembahan simbolik untuk memberi kefahaman jelas kepada pengunjung mengenai situasi sebenar di Gaza.
“Kami tidak berniat langsung mengagungkan Israel dengan mengibarkan bendera berkenaan, sebaliknya ia dilakukan bagi memberi situasi jelas kepada hadirin.
“Sebaik lakonan tamat, bendera itu turut dipijak sebagai tanda kemarahan terhadap Israel,” katanya lapor BH Online hari ini.
Beliau berkata, lebih 10,000 pengunjung termasuk hampir 1,000 bot yang menyertai program berkenaan memahami mesej yang ingin disampaikan dan tidak membangkitkan isu berkaitan bendera tersebut.
Justeru, beliau berharap perkara itu tidak diperbesarkan kerana mesej solidariti terhadap rakyat Palestin lebih utama.
Katanya, program itu merupakan penganjuran kali ketiga berkaitan perjuangan Palestin sejak 2023.
Terdahulu, timbul pertikaian daripada beberapa pihak yang mempersoalkan tindakan penganjur mengibarkan bendera Israel kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
Program berkenaan menyaksikan hampir 1,000 bot memenuhi Sungai Kelantan sambil mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda sokongan terhadap Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






