BERITA SEMASA

Isteri kongsi pengalaman suami jadi juruiring bekas PM

KUALA LUMPUR – Walaupun tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih aktif dengan pelbagai program, termasuk menghadiri majlis berbuka puasa dan turun padang bertemu masyarakat.

Menurut isteri kepada pembantu Tun M, Siti Haida Isa, jadual harian negarawan itu tetap padat walaupun selepas kehilangan kuasa.

Tangkap layar hantaran Facebook oleh Siti Haida Isa yang menceritakan pengalaman suaminya menjadi juruiring Tun M.

“Sangkaan bila tidak lagi menjadi Perdana Menteri, Tun M tidak lagi sesibuk dulu.

“Tapi tidak bagi Tun M, jadualnya sentiasa penuh. Rehatnya masa di IJN sahaja, itu pun masih menulis, membaca surat-surat.

“Dalam erti kata lain, Tun M tidak pernah bercuti bekerja.

“Sangkaan saya juga, suami saya tidak sibuk, boleh balik waktu pejabat. Rupanya, tidak sama sekali. Malah tahun ini kesibukannya seperti menjaga seorang PM yang sedang berkuatkuasa.

“Video, rakaman lensa sepanjang Ramadan ini memenuhi media sosial. Saban hari Tun M akan berada di bazar Ramadan. Dan perkara ini bukan sahaja sekarang yang Tun M lakukan, dari dulu lagi,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Menurut beliau lagi, satu perkara kenapa Tun M kekal di hati masyarakat adalah kerana penulisannya.

“Ia satu aktiviti yang tidak pernah ditinggalkan. Tun M memang suka menulis. Kuasa penanya telah membawa banyak manfaat, malah kerana kuasa penulisannya itulah, ada isu-isu melibatkan negara, dapat bantu dengan mudah.

“Tun M hidup dalam pelbagai zaman pemerintahan. Zaman apa yang tidak beliau lalui. Daripada rakan menjadi musuh, daripada musuh menjadi rakan.

Tun M telah hidup dalam pelbagai zaman pemerintahan sepanjang usianya mencecah 100 tahun menjelang Julai tahun ini.

“Kita semua pasti akan kehilangannya. Bila? Menjadi rahsia Allah.

“Ketika sakitnya seperti telah tiba masanya, namun Allah takdirkan kesembuhan. Umpama bukan berusia 100 tahun Julai nanti. Kurniaan Allah belaka,” ujarnya.

Bagaimanapun Siti Haida mengakui posting yang dibuat bukan bertujuan memuji kerana Tun M disifatkan tidak melambung ketika dipuji dan tidak rebah ketika dihina.

“Hanya nak bagi rasa, suatu ketika nanti nama seseorang boleh subur diingati dan hilang tanpa pengganti,” katanya menutup penulisan tersebut.

Tun M sebelum ini pernah memimpin Malaysia sebanyak dua kali, termasuk sebagai Perdana Menteri ketujuh selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Beliau kemudian meletak jawatan pada 2020 selepas kehilangan sokongan politik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button