
Israel serang stesen TV Iran, arah penduduk Tehran berundur
TEHRAN – Israel semalam melancarkan serangan udara ke atas stesen televisyen milik kerajaan Iran sebelum mengarahkan lebih 300,000 penduduk di tengah ibu negara, Tehran supaya segera mengosongkan kawasan tersebut.
Serangan Israel ke atas ibu pejabat Islamic Republic of Iran News Network (IRINN) itu tular di media sosial malam tadi yang menunjukkan penyampai berita, Sahar Emami, meninggalkan studio selepas berlaku gegaran kuat.
Tidak lama kemudian, Emami muncul semula dari studio lain sambil mengesahkan terdapat mayat wartawan di lokasi asal dan kebakaran besar sedang berlaku.
Sementara itu, wartawan CBS News di Tehran, Seyed Bathaei, melaporkan bunyi tembakan antipesawat memenuhi ruang udara ibu kota, manakala jalan raya utama sesak akibat cubaan penduduk untuk melarikan diri.
Dia turut melaporkan bahawa lebih 80 peratus perniagaan di Teheran ditutup sejak semalam.
Israel mengesahkan serangan tersebut dan mendakwa ia menyasarkan pusat penyiaran yang turut berperanan dalam propaganda serta operasi ketenteraan.
Tindakan itu dipercayai sebagai serangan balas terhadap pelancaran peluru berpandu oleh Iran yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang awam di Israel, menurut kenyataan tentera negara itu.
Setakat ini, konflik yang telah berlarutan selama empat hari itu tidak menunjukkan tanda akan reda dalam masa terdekat.
Iran sebelum ini mendakwa telah melancarkan lebih 100 peluru berpandu sebagai balasan terhadap serangan udara Israel sejak Jumaat lalu.
Jurucakap tentera Israel, Brig. Jen. Effie Defrin, menyatakan bahawa lebih 50 pesawat pejuang Israel telah memusnahkan lebih 120 pelancar peluru berpandu jarak jauh milik Iran dengan sasaran utama adalah Pasukan Quds iaitu unit elit yang bertanggungjawab terhadap operasi ketenteraan Iran di luar negara.
“Israel kini menguasai sepenuhnya ruang udara Teheran,” katanya memetik laporan CBS News.
Tentera Israel turut mendakwa Iran sengaja menyasarkan kawasan penempatan awam, menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang maut dan lebih 500 cedera setakat semalam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |