Berita SemasaLuar Negara

Israel perhebat serangan di kawasan yang sesak dengan penduduk Palestin

GAZA – Tentera Israel terus memperhebatkan serangan di kawasan yang sesak dengan puluhan ribu rakyat Palestin yang telah kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Operasi di tengah dan selatan Semenanjung Gaza itu dimulakan dengan serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di bandar selatan Khan Younis membunuh lapan rakyat Palestin pada malam Khamis, kata pegawai kesihatan.

Selain itu, tiga rakyat Palestin terbunuh dan enam cedera dalam serangan peluru berpandu Israel ke atas sebuah rumah di kem Maghazi di tengah Gaza, kata Bulan Sabit Merah Palestin.

Memetik laporan Reuters, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata operasi di Khan Younis adalah untuk menewaskan Hamas agar mereka tidak lagi mempunyai ketenteraan dan keupayaan mentadbir.

“Kami akan diminta untuk menunjukkan banyak ketabahan dan keazaman,” katanya dalam satu sidang media.

Sementara itu, dalam salah satu serangan udara terbaru Israel, 20 rakyat Palestin terbunuh dan 55 cedera di Rafah, sebuah bandar utama berhampiran sempadan selatan Mesir, kata jurucakap kementerian kesihatan Gaza Ashraf Al-Qidra.

Katanya, bangunan mereka yang dibom adalah menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal, menurut pegawai perubatan dan penduduk tempatan.

Seorang warga Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel, kata pihak berkuasa Palestin, selepas menikam dua anggota keselamatan di pusat pemeriksaan berhampiran Baitulmaqdis pada Khamis.

Polis Israel berkata kakitangan itu cedera ringan.

Hamas memuji serangan itu dan dalam satu kenyataan berkata:

“Kami menyeru rakyat kami di Tebing Barat dan wilayah yang diduduki untuk memperhebatkan operasi dan konfrontasi dengan musuh Zionis.

Konflik itu juga telah merebak Timur Tengah, dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman menyerang kapal komersial di Laut Merah untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Hamas.

Pada Khamis, tentera AS berkata ia menembak jatuh satu dron dan satu peluru berpandu balistik anti-kapal di Laut Merah Selatan yang ditembak oleh Houthi dalam percubaan serangan ke-22 ke atas kapal yang berlabuh sejak 19 Oktober.

Tiada kerosakan pada mana-mana daripada 18 kapal di kawasan itu mahupun dilaporkan kecederaan, kata Komando Pusat Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan di X.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata sebanyak 210 orang telah disahkan terbunuh dalam serangan Israel dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah rakyat Palestin yang terkorban dalam perang setakat ini kepada 21,320 iaitu hampir 1 peratus daripada penduduk Gaza.

Katanya, beribu-ribu lagi yang mati dikhuatiri akan tertimbus atau hilang dalam runtuhan.

Sepanjang perang, tentera Israel menyatakan kekesalan atas kematian orang awam, namun mereka menuduh Hamas beroperasi di kawasan padat penduduk dan menggunakan orang awam sebagai ‘perisai manusia’, satu tuduhan yang dinafikan kumpulan itu.

Israel melaporkan, 169 askarnya terbunuh dalam kempen serangannya di Gaza selepas pejuang Hamas melakukan serbuan rentas sempadan pada 7 Oktober lalu, mengambil kira-kira 240 tebusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button