BERITA SEMASA

Iran sedia runding dengan AS secara adil – Pezeshkian

ISTANBUL – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyuarakan kesediaan Tehran memulakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berlandaskan prinsip keadilan selari dengan undang-undang antarabangsa.

Menurut laporan agensi Anadolu (AA), pendirian itu disampaikan beliau menerusi perbualan telefon berasingan semalam, bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman; Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.

“Kami berharap rundingan antara Iran dan AS dapat dimulakan dalam masa terdekat dan membawa kepada hasil yang positif.

“Tehran komited mencapai perjanjian yang adil serta munasabah, selaras dengan undang-undang antarabangsa demi mempertahankan hak rakyat Iran serta menjamin kestabilan dan pembangunan serantau.

“Kami tidak menuntut lebih daripada hak sah kami dan mengalu-alukan sebarang sokongan daripada negara-negara sahabat dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dalam perbualan tersebut, Putera Mohammed memberi jaminan Riyadh tidak terlibat dalam sebarang tindakan ketenteraan terhadap Tehran.

“Kami sejak awal mengecam tindakan Israel terhadap Iran dan tidak pernah membenarkan ruang udara kami digunakan untuk operasi ketenteraan.

“Tiada sebarang serangan terhadap Iran dilancarkan dari pangkalan AS di Arab Saudi. Kami memahami keperluan anda untuk bertindak balas terhadap serangan tersebut,” titahnya.

Sementara itu, ketika bercakap dengan Sheikh Mohammed bin Zayed, Pezeshkian menyuarakan keyakinan keamanan serta kestabilan rantau Asia Barat boleh dicapai tanpa campur tangan kuasa luar.

Pemimpin UAE turut menegaskan sokongan terhadap usaha keamanan serantau dan pentingnya perjanjian yang memberi manfaat kepada seluruh rantau.

Dalam perbualan bersama Shehbaz Sharif pula, Pezeshkian memberi jaminan hubungan dua hala antara Iran dan Pakistan kekal kukuh meskipun berdepan tekanan serta campur tangan luar.

“Konspirasi musuh tidak akan mampu menggugat persahabatan antara Iran dan Pakistan,” tegas beliau.

Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak 13 Jun lalu susulan serangan udara oleh Israel ke atas beberapa lokasi strategik di Tehran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear.

Israel mendakwa Iran hampir berjaya menghasilkan senjata nuklear dalam kenyataan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Tehran.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas sasaran di Israel, yang kemudiannya mencetuskan campur tangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat menerusi serangan udara terhadap tiga fasiliti nuklear Iran pada Ahad lalu.

Kelmarin, Presiden AS, Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata dan menyeru semua pihak agar mematuhinya demi kestabilan rantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button