
Iran sedia berdamai dengan syarat Israel hentikan serangan terhadap wilayahnya dan Palestin
PUTRAJAYA – Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian dengan syarat Israel menghentikan serangan terhadap wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.
Komitmen itu ditegaskan oleh Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu panggilan telefon sebentar tadi.
“Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran.
“Malaysia pula secara jelas menegaskan pendirian bahawa kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut tidak hanya rakyat biasa tetapi juga kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.
“Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya hari ini.
Sejak tercetusnya konflik ini, Anwar berkata, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar.
Namun, Anwar berkata, dalam kerangka keadilan sejagat, Malaysia mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.
“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri.
“Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.
“Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |