BERITA SEMASA

Tehran beri amaran serangan balas, dakwa Israel langgar gencatan senjata

TEHRAN – Iran mengecam tindakan Israel melanggar perjanjian gencatan senjata yang dimeterai dan memberi amaran menyambung semula operasi ketenteraan sekiranya provokasi rejim Zionis berlanjutan.

Menurut kenyataan Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Israel melancarkan tiga serangan udara ke atas wilayah Iran selepas pengumuman gencatan senjata.

“Rejim Zionis melakukan tiga serangan udara ke atas sasaran di wilayah Iran selepas persetujuan damai diumumkan.

“Ini adalah satu bentuk pengkhianatan terang-terangan terhadap perjanjian yang telah dicapai.

“Iran tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan bersedia memberi tindak balas tegas.

“Sekiranya pelanggaran ini berterusan, respons kami akan lebih keras dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Israel mendakwa Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke wilayahnya sejurus selepas menerima cadangan gencatan senjata yang dimediasi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Sebagai tindak balas, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan serangan berskala besar ke atas beberapa sasaran strategik di Tehran.

Namun begitu, pihak berkuasa Iran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai helah Israel untuk membenarkan tindakan ketenteraannya.

Menurut laporan media tempatan, Iran menegaskan mereka masih komited kepada perjanjian damai selagi semua pihak menghormatinya.

“Kami berpegang teguh kepada gencatan senjata. Namun jika ia terus dicabuli, kami tidak teragak-agak untuk bertindak balas,” tegasnya.

Ketegangan itu mencetuskan kebimbangan konflik Perang 12 Hari bakal berlanjutan, dengan kedua-dua pihak terus saling menuding jari atas kegagalan mengekalkan kestabilan serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button