
Iran beri amaran kepada Trump, tegas tidak akan menyerah
TEHRAN – Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei hari ini menegaskan negara itu tidak akan menyerah seperti yang dituntut oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Malah beliau membalas desakan Trump itu dengan amaran bahawa AS akan menghadapi ‘kerosakan yang tidak boleh diperbaiki’ sekiranya Washington campur tangan dalam menyokong sekutunya.
Ucapan itu dibuat enam hari selepas konflik Iran-Israel susulan kenyataan Trump yang menuntut agar Tehran menyerah tanpa syarat.

Trump dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa AS berkeupayaan untuk membunuh Khamenei jika mereka mahu yang mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan akan campur tangan.
“Negara ini tidak akan menyerah. Amerika harus tahu bahawa sebarang campur tangan tentera sudah pasti akan mengakibatkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki.
“Ancaman tidak akan menjejaskan pemikiran dan tingkah laku negara Iran,” kata Khamenei.
Ketegangan Iran-Israel bermula Jumaat lalu apabila Rejim Zionis melancarkan kempen pengeboman besar-besaran yang mendorong Iran bertindak balas dengan peluru berpandu dan dron.
Di sebalik ketegangan yang semakin membara di Asia Barat, Trump, terus menggantung keputusan sama ada negara itu akan menyertai serangan ketenteraan Israel terhadap Iran.
Spekulasi mula timbul selepas beberapa laporan menyebut Trump telahpun meluluskan pelan serangan, namun memilih untuk menangguhkan pelaksanaannya bagi menilai tindak balas Tehran terhadap desakan penyerahan program nuklearnya.
“Semua pilihan masih terbuka,” kata sumber dalaman White House, sambil mengesahkan bahawa tindakan ketenteraan masih kekal sebagai salah satu opsyen yang sedang dipertimbangkan Washington.
Trump turut mendakwa bahawa Iran kini sedang berdepan pelbagai masalah dalaman dan berminat untuk memulakan rundingan dengan AS.
Bagaimanapun, kenyataan itu segera disangkal oleh Tehran yang menafikan sebarang hasrat untuk berunding malah menolak sebarang bentuk komunikasi dengan Trump secara terbuka.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |