
Insiden Putra Heights: Lebih 150 keluarga terima bantuan sewa RM2,000 selama tiga bulan
KUALA LANGAT – Lebih 150 keluarga yang terjejas akibat kebakaran disebabkan letupan gas di Putra Heights sudah menerima bantuan bayaran sewa rumah selama tiga bulan daripada Kerajaan Negeri.
Menurut EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bantuan sebanyak RM2,000 sebulan itu disalurkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) secara pemindahan terus ke akaun mangsa yang terlibat.
“Saya dimaklumkan, 70 keluarga mangsa sudah terima Ahad lepas, dan kemas kini data terbaharu terdapat tambahan lagi dengan jumlah keseluruhan lebih 150 keluarga sudah menerima bantuan sewa setakat ini.
“Arahan Menteri Besar (Selangor) adalah untuk memastikan bantuan ini terus dimasukkan ke dalam akaun mereka. Sebanyak tiga bulan bantuan, iaitu RM6,000, telah disalurkan secara langsung,” katanya.
Borhan berkata demikian dalam sidanfg akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Krematorium Moden di Kuala Langat di Quayside Mall, di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai pembangunan semula kawasan yang terjejas, Borhan berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diumumkan Menteri Besar dalam masa terdekat.
“Untuk bina baharu, masih dalam perbincangan lagi, nanti Menteri Besar umumkan sebab kita ada beberapa kategori kemusnahan rumah yang harus dikaji sama ada kerosakan keseluruhan atau kecil.
“(Buat masa ini) Menteri Besar sedang berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta agensi berkaitan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan sebagai berkata, seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran tersebut layak menerima bantuan sewa rumah sebanyak RM2,000 sebulan, selama enam bulan.
Kejadian pada 1 April lalu itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih daripada 40 peratus, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |