
Insiden Putra Heights: Kerajaan Persekutuan peruntuk RM40 juta baik pulih rumah terjejas
SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM40 juta bagi membaik pulih rumah yang terjejas dalam kebakaran akibat letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini, awal bulan ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, proses baik pulih tersebut dimulakan minggu ini bagi mempercepatkan fasa pemulihan kepada penduduk di kawasan terjejas.
Jelasnya, proses baik pulih yang dilaksanakan membabitkan tiga kategori.
“Bagi kerosakan kecil di bawah RM30,000, penduduk boleh membaiki sendiri dan membuat tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Prosedurnya adalah melalui Persatuan Penduduk dan Ketua Kampung yang akan bertugas mengambil tuntutan daripada penduduk dan dihantar secara mingguan kepada PBT iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis penyerahan bantuan sewa rumah kepada mangsa insiden tersebut, di sini hari ini.
Bagi kerosakan lain pula, Amirudin berkata, ia akan dibaik pulih menerusi dua kaedah yang telah ditetapkan.
Bagi kawasan Putra Heights, proses baik pulih akan dilakukan Sime Darby yang juga pemaju kawasan berkenaan dengan dibiayai bantuan kerajaan Persekutuan.
“Bagi Kampung Sungai Baharu, kita akan baiki melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |