
Insiden Putra Heights: 25 pegawai penyiasat JBPM jalankan penilaian akhir
SUBANG JAYA – Seramai 25 pegawai penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan penilaian akhir di kawasan terjejas akibat kebakaran paip gas di Taman Putra Harmoni, Putra Heights, dekat sini.
Pasukan itu yang dibawa dari lima negeri, dibahagikan kepada dua kumpulan masing-masing akan menumpukan penilaian kepada fokus anggaran kerugian dan aspek teknikal keselamatan dengan semua maklumat akan disiapkan pada pukul 4 petang ini, lapor portal HMetro.
Menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, kesemua pegawai berkenaan adalah pakar dan terlatih dalam bidang siasatan kebakaran, dan merupakan anggota dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
“Semua yang terlibat adalah anggota Unit Penyiasatan Kebakaran yang berkemahiran tinggi. Kita juga pecahkan kepada dua pasukan utama iaitu kumpulan yang fokus kepada anggaran kerugian dan satu lagi kepada aspek teknikal,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.
Nor Hisyam berkata, pasukan teknikal JBPM turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menjalankan pemeriksaan sistem dan mengenal pasti sebarang kerosakan teknikal yang mungkin menjadi punca kejadian.
“Setakat ini, laporan akhir masih dalam proses kompilasi. Kami akan bentangkan hasil penilaian kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terlebih dulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kami faham tekanan dihadapi penduduk, justeru kami tidak mahu mengganggu mereka sebelum semua aspek keselamatan disahkan,” katanya lagi.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, sebarang pengumuman rasmi mengenai penilaian akhir hanya akan dibuat selepas laporan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
“Segala sokongan teknikal dan laporan sudah kami siapkan, namun pengumuman bukan di bawah bidang kuasa JBPM. Ia perlu melalui jawatankuasa terlebih dulu,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |