
Insiden Putra Heights: 20 agensi terlibat siasatan
SUBANG JAYA – Sebanyak 20 agensi terlibat dalam siasatan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, semalam.
Menurut Ketua Polis Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, antara agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad serta pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah.
Tambahnya, agensi terlibat akan mula melaksanakan siasatan di lokasi kejadian, pagi ini.
Setakat ini, Jalan Persiaran Harmoni masih ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan.
Bagaimanapun, laluan berkenaan akan dibuka secara berperingkat kepada penduduk terjejas.
“Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi terlibat bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya telah memulakan beberapa gerak kerja utama termasuk penaksiran kerugian ke atas rumah dan kenderaan yang terjejas susulan insiden letupan paip gas terbabit.
Satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku insiden kebakaran.
Pasukan bomba juga memberi perhatian terhadap struktur rumah yang terbakar atau terkena impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk yang terlibat.
“Daripada segi keselamatan juga, kita akan mula melihat kepada struktur rumah-rumah yang terbakar dan juga yang terkena letusan itu. Kalau yang tak selamat ataupun membahayakan, mungkin kita buat kerja-kerja meruntuhkan, contohnya struktur seperti bumbung yang boleh kita runtuhkan,” katanya.
Tambahnya, JBPM turut menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat bagi mempercepatkan proses siasatan serta memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman mereka secepat mungkin.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |