BERITA SEMASA

Insiden kebakaran di Bintulu ragut nyawa, puluhan kehilangan tempat tinggal

KUCHING – Dua insiden kebakaran berasingan di Bintulu dalam tempoh kurang 24 jam telah meragut satu nyawa dan memusnahkan lima rumah teres, sekali gus menyebabkan 21 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian pertama berlaku di sebuah rumah kediaman di Jalan Sibie, semalam.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 2.32 pagi itu, lelaki dikenali sebagai Wong Jun Din, dipercayai berusia lingkungan 50-an, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan melecur di seluruh badan.

“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh penghuni lain, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus selepas dikeluarkan dari lokasi kebakaran,” menurut kenyataan itu.

Tiga penghuni lain yang turut berada di rumah tersebut dilaporkan terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, dalam kejadian kedua yang berlaku pada malam kelmarin, lima buah rumah teres setingkat jenis kekal di kawasan perumahan MLNG Kidurong, Jalan Abang Usop, musnah sepenuhnya dalam kebakaran.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.43 malam, sebelum 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dan BBP Bintulu dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dijalankan secara menyeluruh dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 6.25 pagi Ahad.

“Kebakaran ini telah menyebabkan seramai 21 penghuni daripada lima buah rumah hilang tempat tinggal. Kesemua mangsa kini dalam pemantauan pihak berkuasa tempatan bagi urusan bantuan lanjut,” jelasnya.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian yang terlibat dalam kedua-dua insiden.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button