
Insiden jalan mendap, laluan Lojing-Gua Musang ditutup sepenuhnya
PUTRAJAYA – Laluan Lojing ke Gua Musang ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan kejadian jalan mendap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, mendapan itu dikesan berlaku di laluan Kilometer (KM) 78.6 berhampiran Kampung Jek Jok, Pos Brooke.
“Kerosakan itu menyebabkan jalan terpaksa ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula semalam sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
“Tindakan ini perlu diambil bagi memastikan keselamatan semua pihak terutamanya pengguna jalan raya di laluan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, situasi cuaca buruk yang berlaku di kebanyakan negeri ketika ini terutama di Pantai Timur, sedikit sebanyak menyumbang kepada faktor kerosakan jalan raya di beberapa kawasan terjejas.
Tambahnya, beliau dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang bahawa kejadian itu dikesan pertama berlaku kali pada 23 November lalu, diikuti satu lagi lubang sedalam 9 meter dikesan di kawasan yang sama, semalam.
“Sehubungan itu, pengguna dari Gua Musang yang ingin ke Ipoh boleh menggunakan laluan alternatif melalui Sungai Koyan -Ringlet – Tapah- Ipoh.
“(Manakala) Bagi pengguna dari Gua Musang ke Cameron Highland, mereka boleh melalui jalan di Sungai Koyan – Ringlet – Cameron Highland,” katanya lagi.
Beliau turut memberitahu, pihak Roadcare (M) Sdn Bhd (RCSB) akan melakukan pembinaan lencongan sementara dengan segera.
“Saya ingin memohon semua pihak supaya mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Pihak kementerian dan JKR akan melaksanakan semua tindakan segera bagi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |