
Insentif rebat RAHMAH: Hadiah bermakna sempena Aidilfitri
PUTRAJAYA – Pemberian insentif rebat RAHMAH berbentuk tambahan kuota data minimum 5GB kepada semua perkhidmatan telekomunikasi warganegara (prabayar dan pascabayar) pada Hari Raya Aidilfitri pertama disambut baik oleh rakyat Malaysia.
Pensyarah Kanan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik METrO Kuantan, Nor Akashah Kassim berkata, inisiatif sebegitu amat bermanfaat dalam memperkukuh hubungan sesama insan khususnya dalam kalangan ahli keluarga.

“Insentif itu sangat berguna terutama bagi mereka yang tidak dapat pulang ke kampung halaman kerana terpaksa bekerja dan sebagainya.
“Apa yang pasti, tambahan data percuma ini membolehkan rakyat berkomunikasi dengan lebih lancar menggunakan panggilan video dan media sosial sekaligus mengekalkan semangat Aidilfitri walaupun berjauhan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, tambahan data tersebut sah bagi tempoh minimum 24 jam, tertakluk kepada terma dan syarat penawaran syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Pavo Comms, Tune Talk, redONE, REDtone dan XOX Com.
“Usaha kementerian dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI yang menitikberatkan nilai ihsan kepada rakyat.
“Selain itu, ia juga bertujuan mengeratkan silaturahim menerusi komunikasi dalam talian sempena musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, bagi Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim, seorang anggota tentera yang tidak dapat pulang ke kampung kerana bertugas, mengakui insentif tersebut sangat bermakna buatnya.

“Ini tahun pertama saya bertugas sebagai anggota keselamatan negara. Justeru, kesedihan apabila tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga boleh terubat melalui panggilan video hasil daripada pemberian rebat RAHMAH oleh kerajaan ini,” ujarnya yang bertugas di Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.
Seorang pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah, Ali Al-Murthada Mohd Azhar pula teruja dan turut memuji usaha kerajaan dalam memberikan yang terbaik buat rakyat.
“Sebagai seorang pelajar yang sering bergantung kepada data mudah alih, insentif ini sangat membantu saya untuk berhubung dengan keluarga dan sahabat handai pada hari raya tanpa perlu risau tentang kuota data,” katanya.
Bagi pengguna perkhidmatan telekomunikasi, Ahmad Nasrun Mohd Nor pula berkata, pemberian kuota data percuma ini sedikit sebanyak meringankan beban rakyat.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat sekarang, insentif ini sangat membantu terutama buat mereka yang kurang berkemampuan.
“Oleh itu, saya berharap inisiatif seperti ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai insentif rebat RAHMAH itu akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Untuk sebarang info, boleh layari laman sesawang Kementerian Komunikasi menerusi pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |