BERITA SEMASA

Inisiatif ViP tingkatkan kecekapan MBPP sampaikan perkhidmatan kepada rakyat

GEORGETOWN – Inisiatif Virtual Island of Penang (ViP) akan dapat meningkatkan kecekapan operasi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Ir. Rajendran P. Anthony berkata, inisiatif yang merangkumi 10 modul itu turut membolehkan pegawai MBPP membuat keputusan yang lebih tepat dan pantas berdasarkan data masa nyata (real time data) yang dikumpul daripada pelbagai sumber seperti CCTV, sensor, dan sistem teras MBPP (core systems).

“Hari ini, kita bersama-sama membuka lembaran baharu dengan sesi taklimat “Penang AI City: Beyond Smart Cities” yang akan membawa integrasi kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem sedia ada.

“Sistem ini (mampu) menjadikan Pulau Pinang sebuah bandaraya pintar yang bukan sahaja bijak tetapi juga responsif, mampan dan proaktif menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi taklimat “Penang AI City: Beyond Smart Cities”, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak anak Kumbong dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 2, Jagdeep Singh Deo.

Menurut Rajendran, langkah MBPP ke arah Intelligent City bermula sejak 2019 di mana data-data GIS yang dikumpul dari jabatan-jabatan MBPP disatukan secara bersepadu dan satu kajian Pelan Tindakan (Blueprint) yang selari dengan ISO 37122 disediakan.

“Seterusnya perakuan-perakuan Pelan Tindakan telah dilaksanakan secara berperingkat bermula dari tahun 2021 sehingga sekarang yang juga melibatkan pembangunan infrastruktur seperti rangkaian fiber atau PiNET,” katanya lagi.

Beliau kemudian turut menyatakan komitmen MBPP dalam meneruskan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi Pulau Pinang sebagai bandaraya pintar yang maju, selamat, cekap dan berdaya saing.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button