
Malaysia kemuka dua inisiatif strategik ke Persidangan Pendidikan Tinggi ASEAN
PUTRAJAYA – Malaysia akan mengemukakan dua inisiatif strategik pada Persidangan Meja Bulat Menteri-Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN yang bakal berlangsung di Langkawi dari 17 hingga 19 Jun ini.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dua inisiatif itu ialah Deklarasi Pemimpin ASEAN Mengenai Pendidikan Tinggi: Ke Arah ASEAN yang Inklusif, Mampan dan Makmur, serta Program Mobiliti Pertukaran Global dan Biasiswa ASEAN (ASEAN-GEM).
Menurut beliau, deklarasi tersebut bukan sekadar kenyataan bersama, sebaliknya merangkumi pelan tindakan jangka panjang yang komprehensif bagi memastikan sistem pendidikan tinggi serantau menjadi lebih inklusif, mampan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Dari segi mobiliti pelajar, kami memberi penekanan kepada usaha memperluaskan ruang pergerakan mahasiswa dan mahasiswi, khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN.
“Ia bertujuan memberikan mereka pengalaman yang bernilai dalam bidang diplomasi, terutamanya diplomasi halus (soft diplomacy), melalui interaksi rentas sempadan yang lebih terbuka dan bermakna,” katanya.
Baca juga : ASEAN-EU terus perkukuh sektor pendidikan tinggi
Beliau berkata demikian semasa sesi Taklimat Luncheon Talk With Editors Sempena Program Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini semalam.
Persidangan Meja Bulat tersebut akan menghimpunkan menteri-menteri pendidikan dan pendidikan tinggi ASEAN serta pegawai kanan dari negara-negara anggota bagi membincangkan hala tuju pendidikan tinggi rantau ini.
Mengulas mengenai ASEAN-GEMS, Zambry berkata, ia berperanan sebagai pemacu kepada mobiliti akademik serantau yang lebih dinamik yang dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk bergerak merentas sempadan.
Selain itu, beliau berkata, ASEAN-GEMS turut berperanan dalam menyediakan akses kepada pelbagai biasiswa di peringkat serantau dan global.
Beliau memaklumkan KPT merancang untuk menggerakkan tenaga pakar dalam pelbagai bidang secara lebih menyeluruh bagi membolehkan perkongsian kepakaran dimanfaatkan oleh negara-negara ASEAN.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, KPT juga sedang merangka satu inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi serantau dalam bidang strategik, khususnya melibatkan teknologi baharu dan Kecerdasan Buatan (AI).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment