
Malaysia ke arah Pusat Kawalan Nasional bandar pintar
KUALA LUMPUR – Malaysia sedang merangka penubuhan Pusat Kawalan Nasional Bandar Pintar sebagai langkah strategik menyelaras dan menyatukan pelaksanaan pelbagai inisiatif bandar pintar yang kini giat dijalankan di seluruh negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pusat bersepadu akan berfungsi sebagai hab penyelarasan nasional bagi sistem pemantauan data masa nyata yang telah mula diimplementasi di beberapa bandar utama.
“Ketika ini, banyak bandar di negara ini telah memulakan pelaksanaan inisiatif pintar. Namun, kita perlu melihat bagaimana usaha-usaha ini boleh digabung dan diurus secara sistematik menerusi satu pusat kawalan yang terancang.
“Dalam tempoh enam bulan lalu, saya telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Putrajaya, Selangor dan Sarawak yang telah menunjukkan kemajuan ketara dalam pembangunan bandar pintar.
“Di Pulau Pinang dan Putrajaya, sebagai contoh, kita boleh lihat pusat kawalan digital yang lengkap dengan sistem pemantauan masa nyata. Malah, aplikasi dan penyelesaian pintar sudah pun digunakan untuk meningkatkan kecekapan pengurusan bandar,” katanya pada pelancaran rasmi kira detik 100 hari ke SCEKL25, di sini, hari ini.
Menurutnya, bandar-bandar itu bergerak aktif ke arah digitalisasi dan memiliki pendekatan berbeza dalam melaksanakan inisiatif bandar pintar, termasuk penggunaan data untuk pemantauan trafik, keselamatan dan pengurusan tenaga.
“Apa yang kita ingin lakukan sekarang ialah mengumpulkan semua inisiatif ini dan menyusun semula kerangka pelaksanaannya agar bandar-bandar ini dapat saling berkongsi kepakaran dan teknologi,” ujarnya.
Gobind turut mengumumkan satu sidang meja bulat bersama semua Datuk Bandar serta pihak berkuasa tempatan dari seluruh negara akan diadakan tidak lama lagi.
“Tujuannya ialah untuk membincangkan dasar bersama dan mewujudkan satu pelan kerjasama rentas negeri. Ini termasuk menjajarkan keperluan setiap bandar dengan satu visi nasional yang selari,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan antara hasil yang disasarkan adalah mewujudkan satu rangka kerja koperasi nasional bandar pintar, yang bakal memperkukuh integrasi digital dan mempercepat penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), dan data raya.
“Akhirnya, kita mahu menubuhkan satu pusat kawalan pintar di peringkat nasional. Saya berharap ini dapat direalisasikan sebelum akhir tahun ini,” jelasnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |