BERITA SEMASASUKAN

Indonesia cipta sejarah, layak ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia

JAKARTA – Pasukan Indonesia mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia, selepas menewaskan China 1-0 dalam aksi Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, di sini, semalam.

Gol kemenangan skuad Garuda itu dijaringkan oleh pemain naturalisasi, Ole Romeny, menerusi sepakan penalti pada minit ke-45, sekali gus memastikan tiga mata penuh buat pasukan tuan rumah.

Dengan kemenangan tersebut, Indonesia kini mengumpul 12 mata selepas sembilan perlawanan, mengukuhkan kedudukan di tangga keempat kumpulan dan menempah tiket ke pusingan seterusnya.

Kemaraan Indonesia turut dibantu keputusan perlawanan antara Arab Saudi dan Bahrain, yang menyaksikan Arab Saudi mencatat kemenangan 2-0.

Kemenangan itu menutup peluang Bahrain, iaitu pesaing terdekat Indonesia untuk memintas kedudukan dalam perlawanan terakhir.

Bahrain yang kini berada di tangga kelima dengan enam mata, tidak mampu mengatasi Indonesia walaupun menang dalam aksi terakhir menentang China.

Kelayakan ke psingan leempat ini membuka peluang buat Indonesia untuk melakar sejarah baharu iaitu layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak merdeka.

Walau bagaimanapun, mereka dijangka berdepan laluan sukar apabila perlu menentang beberapa kuasa besar bola sepak Asia pada pusingan akan datang.

Indonesia dijadual menamatkan saingan pusingan ketiga dengan perlawanan terakhir menentang Jepun, namun keputusan perlawanan tersebut tidak akan menjejaskan kedudukan akhir Indonesia dalam kumpulan.

Setakat ini, empat pasukan telah mengesahkan tempat ke Pusingan Keempat iaitu Indonesia, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari Kumpulan A, serta Iraq yang menduduki tempat ketiga Kumpulan B dengan 12 mata selepas sembilan perlawanan.

Saingan dalam kumpulan B masih terbuka dengan Oman (10 mata) dan Palestin (9 mata) turut berpeluang merebut baki satu tempat ke pusingan seterusnya.

Pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung pada Oktober ini, dengan kesemua perlawanan akan diadakan secara berpusat di lokasi yang akan diumumkan kelak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button