
India berminat pelajari kursus antarabangsa ditawarkan SPRM
PUTRAJAYA – Negara India menyatakan minat mendapatkan khidmat latihan dan kursus antarabangsa yang ditawarkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam satu kenyataan berkata, hasrat mengadakan kerjasama itu dizahirkan sewaktu kunjungan hormat Duta India Ke Malaysia, B.N. Reddy ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.
Menurut kenyataan itu, kunjungan yang berlangsung kira-kira satu jam turut memberi fokus kepada pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik mengenai isu rasuah antara kedua-dua negara.
Tambahnya, Azam dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan atas minat pihak Duta India Ke Malaysia dan mengalu-alukan perkongsian pengalaman serta berhasrat untuk meningkatkan penglibatan SPRM dengan organisasi antarabangsa.
“SPRM menghargai kunjungan delegasi Duta India Ke Malaysia pada hari ini dalam usaha memerangi rasuah serta berharap hubungan ini dapat dizahirkan dengan peluang penganjuran program-program pada masa akan datang membabitkan kedua-dua negara.
“SPRM juga bersedia untuk mengadakan kerjasama bersama termasuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan agensi antirasuah dari India,” katanya.
Sementara itu, B.N. Reddy menyambut baik cadangan untuk mengadakan kerjasama dengan SPRM khususnya aspek latihan dan berkongsi kepakaran dalam bidang teknologi.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Pengarah Bahagian Analisa Kewangan (BAK) SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |