BERITA SEMASADALAM NEGERI

Imigresen nafi dakwaan 1.2 juta pelawat China tidak keluar dari Malaysia

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan seramai 1.2 juta pelawat warga China tidak keluar dari negara ini pada tahun 2022.

Perkara itu dijelaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam video Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga pada 7 November 2024 yang dimuat naik di Facebook rasmi JIM.

Menurut Saifuddin, statistik ketibaan dan pelepasan keluar pelawat warga China dari 1 Januari 2018 hingga 30 November 2024 menunjukkan jumlah kemasukan seramai 8,491,653 orang, manakala pelepasan keluar pula direkodkan seramai 8,012,294 orang.

Perbezaan yang direkodkan adalah sebanyak 479,359 orang, jauh lebih rendah daripada angka 1.2 juta yang tular itu.

Sementara itu, JIM menegaskan peningkatan ketara kemasukan pelawat, khususnya dari China pada tahun 2024 adalah hasil pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLB) oleh kerajaan yang bertujuan memacu sektor pelancongan negara.

“Pelawat dari China meningkat 140 peratus daripada 1.6 juta orang pada 2023 kepada 3.9 juta orang pada 2024.

“Inisiatif ini turut merangkumi pelawat dari India, bukan China semata-mata,” menurut video itu lagi.

Mengulas isu keselamatan penggunaan autogate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), JIM memberi jaminan bahawa pelawat tetap perlu melalui sistem biometrik dan pengesahan cip pasport dengan syarat wajib seperti pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) sebelum ketibaan.

“Pelawat juga mesti bebas daripada senarai hitam atau senarai syak. Sekiranya gagal mematuhi syarat, mereka tidak dibenarkan menggunakan autogate,” katanya.

Dalam video sama, JIM menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kawalan sempadan dan menyokong dasar kerajaan tanpa kompromi terhadap isu keselamatan negara.

“Jabatan Imigresen memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan menegaskan bahawa keselamatan negara kekal sebagai keutamaan,” tegas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button