BERITA SEMASA

Ilmu denyut nadi kehidupan – Ketua Setiausaha KPM

PUTRAJAYA – Budaya membaca sewajarnya menjadi nadi dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia selaras dengan aspirasi menjadikan negara sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030, tegas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diwakili Aniza Kamarulzaman.

Beliau berkata, penganjuran Kempen Galakan Membaca dan Penyerahan Buku Polis Diraja Malaysia (PDRM) Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2025 merupakan antara inisiatif berterusan dalam menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini telah digerakkan sejak tahun 2005 menerusi inisiatif Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dengan sokongan para pengetua, guru, pelajar serta komuniti dalam usaha memartabatkan budaya ilmu,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian majlis pelancaran kempen tersebut di sini, hari ini.

Menurut beliau, buku dan penulisan merupakan tunjang intelektual negara, justeru para penulis serta industri perbukuan perlu terus diberikan pengiktirafan dan sokongan penuh daripada kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berpengetahuan dan berfikir secara kritis.

Mengulas lanjut, Aniza turut memuji kerjasama strategik antara YPBN, PDRM dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam penerbitan buku sejarah bertajuk PDRM: Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara, yang telah dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

“Buku ini akan dijadikan bahan utama bagi program jelajah Galakan Masyarakat Membaca Buku PDRM ke seluruh negara yang dijadualkan bermula Jun 2025,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen semua pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi, persatuan dan individu yang terus mendukung gerakan pemasyarakatan ilmu melalui pelbagai inisiatif seumpama.

Menutup ucapannya, Aniza menyeru agar seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru, murid, pemimpin setempat dan penjawat awam bersama-sama menjadikan tahun 2025 sebagai permulaan kebangkitan semula budaya ilmu negara.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat serta penerima Anugerah Khas Buku Negara. Kita tidak boleh menunggu lagi. Kini adalah masa terbaik untuk mengubah diri dan dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button